Monday, July 26, 2010

Kisah Katak...

Mungkin sahabat-sahabat pembaca sudah biasa mendengar @ membaca kisah ini..tetapi saya ingin membawa juga kisah ini sebagai refresh kepada kita...bagi yang belum pernah mengetahui kisah ini,selamat membaca dan menghayati apa yang nak disampaikan... (^_^)

Di suatu ketika ada sekumpulan katak-katak berkumpul untuk mengadakan satu pertandingan. Mereka berbincang apakah pertandingan yang dapat memberi cabaran; yang dapat menguji serta memperlihatkan kehebatan katak dan billakah waktu yang sesuai untuk mereka mengadakan pertandingan tersebut. Pelbagai cadangan diterima, ada yang mengatakan pertandingan mencari serangga, ada juga yang mencadangkan pertandingan suara terhebat dan banyak lagi. Tiba-tiba ada seekor katak yang datang dengan cadangan yang lain dari lain. Katak tersebut mencadangkan agar diadakan cabaran perlumbaan ke puncak menara komunikasi yang begitu tinggi. Ramai yang terkejut mendengar cadangan yang tidak masuk akal ini. Namun katak tersebut bukanlah katak sembarangan, dengan hujah serta pandangan yang begitu menakjubkan maka kumpulan katak-katak tersebut bersetuju untuk mengadakan pertandingan tersebut.

Setelah dipersetujui waktu dan tarikh, maka promosi pertandingan itu diadakan secara besar-besaran. Banyak katak-katak menyertainya kerana hadiahnya juga lumayan dan mereka bakal mencipta rekod dunia. Masing-masing mula berlatih, menambah stamina dan pelbagai cara lagi dilakukan untuk memastikan mereka sihat dan kuat pada hari pertandingan dan tak lupa juga mereka mencari pakar-pakar motivasi untuk menolong mereka dari segi moral. Pada satu pagi yang nyaman mereka berkumpul tidak jauh dari menara yang tinggi itu bagi memulakan pertandingan. Begitu ramai penonton mengelilingi katak-katak tersebut bagi melihat satu pertandingan tidak masuk akal. Katak-katak tersebut begitu bermotivasi kerana telah menjalani latihan yang cukup serta telah dimotivasikan oleh mereka yang pakar.

Sebenarnya hampir kesemua penonton yang datang tidak percaya yang katak-katak ini akan berjaya memanjat menara jaya yang cukup tinggi itu. Kedatangan mereka hanyalah untuk melihat kegagalan katak-katak tersebut dan bagi mereka ianya pasti menghiburkan apabila melihat setiap seekor katak-katak yang bertanding jatuh kecundang dengan pelbagai aksi. Setelah kesemua peserta bersedia maka pengadil meniup wisel tanda permulaan telah di mulakan. Melompat-lompatlah katak-katak tadi dengan penuh harapan akan menjadi juara dalam pertandingan yang diadakan tambahan lagi wang untuk persediaan telah banyak dilaburkan.

Ketika bermulanya pertandingan terdengar suara-suara sumbang yang berkata “ aku yakin kata-katak ni, tidak seekor pun menang kerana mana boleh katak panjat menara, kelakarlah…” Kata-kata tersebut disambut oleh seorang lagi penonton “ aku pun yakin macam tu”. Tetapi dek kerana kuatnya semangat tadi katak-katak tersebut tidak mempedulikannya dan terus memanjat menara yang tinggi tadi. Ketika mula menaiki aras pertama menara tersebut, seorang penonton berteriak menyuruh katak-katak tersebut melihat ke atas dan mentertawakan katak-katak tersebut kerana mereka pasti akan jatuh dan tidak mampu untuk naik ke atas. Tiba-tiba beberapa ekor katak memandang ke atas dan mereka terhenti dari melakukan pendakian dan jatuh dari aras tersebut. Meskipun begitu peserta-serta lain tidak mempedulikan apa yang berlaku, mereka terus cekal dalam mengharungi cabaran pendakian. Sedang mereka mendaki ke aras seterusnya penonton terus bersorak sambil mengejek “tak payah lah di teruskan benda yang tak mungkin kamu lakukan, kamu tak mungkin berjaya… ha.. ha.. ha”. Begitulah sorakan penonton yang hanya ingin melihat kegagalan dalam pertandingan itu. Semakin kuat sorakan begitu semakin banyak katak-katak yang jatuh dan aksi kejatuhan mereka merupakan hiburan kepada penonton. Mereka begitu terhibur melihat katak-katak yang bertanding gagal dan jatuh.

Tetapi dalam banyak-banyak katak yang bertanding terdapat seekor katak yang begitu bersemangat dan tidak langsung menghiraukan sorakan negatif penonton. Ia terus melompat dan melompat. Katak-katak lain biarpun telah dimotivasi oleh pakar-pakar namun tidak dapat meneruskan pendakian menara puncak jaya yang tinggi kerana mereka mula lemah apabila mengenangkan ketinggian menara tersebut. Dalam fikiran mereka ada betulnya apa yang dikatakan para penonton kerana pertandingan ini merupakan satu kerja yang mustahil, biar pun mereka tahu berada di puncak merupakan satu penghargaan yang tinggi nilainya dalam kehidupan seekor katak.

Di kala seekor demi seekor katak kecundang jatuh ke tanah, katak yang tadi terus sahaja memanjat menara tadi tanpa memperdulikan ejekan penonton yang ingin melihat aksinya jatuh dari aras yang cukup tinggi. Namun harapan penonton tadi tidak kesampaian kerana katak tersebut akhirnya sampai ke puncak dan menjadi katak pertama dalam dunia yang berjaya memanjat menara jaya hingga ke puncaknya yang terkenal tinggi itu. Katak-katak lain kagum dengan kebolehan katak tersebut sampai ke puncak. Apabila katak yang berjaya turun dari puncak, maka berebut-rebutlah mereka bertanya kepada katak-katak tersebut tentang rahsia kejayaan hingga berjaya sedemikian rupa.

Apabila ditanya apakah rahsia katak tersebut mempunyai kekuatan yang cukup tinggi biarpun lebih kecil berbanding dengan katak-katak lain, katak tersebut tidak menjawab satu soalan pun. Setelah berkali-kali ditanya tanpa menerima sebarang jawapan maka mereka berpendapat bahawa katak kecil ini sengaja mahu merahsiakan kunci kejayaannya. Mereka mula beredar menjauhi katak kecil itu tadi, tiba- tiba datang seekor lagi katak yang memberitahu dia adalah teman kepada katak kecil yang berjaya tadi. Ia meminta maaf kerana katak kecil yang berjaya tadi tidak menjawab, tetapi itu tidak pula bermakna ia sombong jauh sekali merahsiakan kunci kejayaannya. Tambah teman si katak tadi sebenarnya katak kecil tadi bukan sahaja kecil dari segi saiznya tetapi katak itu juga pekak. Meloponglah kata-katak yang mendengar cerita teman katak kecil tadi. Barulah mereka tahu bahawa katak kecil itu berjaya hingga ke puncak kerana ia pekak dan tidak langsung mendengar ejekan para penonton.

Kita juga perlu menjadi pekak untuk berjaya, pekak dari mendengar kejian, pekak dari mendengar komen negatif dan dari mereka yang pesimis. Jika kita duduk seiring dengan mereka yang sering tidak percaya yang Allah swt mampu memberi apa saja secara tidak langsung kita juga akan terbelakang kerana kita yakin sesuatu yang ingin kita lakukan adalah perkara yang sukar dan kegagalan pasti menjelma. Kita tidak pula menjadi pekak dari mendengar pandangan positif yang mampu memberi ruang lebih besar untuk berjaya tetapi kita perlu menjadi pekak dengan pujian melampau kerana kita perlu ingat bahawa kita ini fakir. Yang memberi kejayaan itu adalah Allah swt. Jika kita percaya bahawa kita sebenarnya yang mencipta kejayaan maka kita taksub dengan diri dan ia bakal mengundang kerosakan. Ketahuilah kita hanya pelakon yang berusaha untuk menghayati watak sebaik mungkin agar lakonan kita berjaya. Kita mampu melakukan apa sahaja tetapi keputusan adalah hak milik mutlak Allah swt, maka kita perlu faham bahawa kejayaan kita pada hari ini adalah kurniaanNya.

Oleh yang demikian seringlah berterima kasih kepadaNya agar kejayaan yang ada berkekalan dan berpanjangan. Untuk menjadi pelakon dunia yang baik kita perlu menjadi pekak dari ejekan, ugutan bahkan hinaan. Kita juga perlu pekak dari pujian kerana pujian sering juga menjatuhkan seseorang kerana ia mencipta kealpaan. Ingatlah kita tidak hidup kerana pujian dan tidak pula mati kerana keji.

Thursday, July 8, 2010

Pilih Nak Yang Mana..

Setiap hari setiap ketika kita dihidangkan dengan pelbagai kejadian untuk dialami samada ianya memberi kesan terhadap hidup kita ataupun tidak. Setiap kejadian itu juga merupakan satu pengalaman untuk kita dan ianya bergantung kepada kita samada untuk mengambil pengajaran dari setiap pengalaman yang kita alami atau membiarkan sahaja ianya menjadi satu episod hidup.

Seorang yang sedang berhadapan dengan masalah akan mengalami satu tekanan yang mungkin akan membuatkannya hilang pertimbangan, namun dia sebenarnya punya pilihan samada untuk menjadikan masalah yang dihadapinya itu satu panduan masa hadapan atau menjadikannya satu beban perasaan yang lama kelamaan akan memakan diri sendiri jika tidak selesaikan. Ianya amat bergantung bagaimana kita mentafsir serta menerima tekanan tersebut.

Manusia mempunyai beberapa jenis pandangan yang berbeza dan impak setiap pandangan itu amat bergantung kepada bagaimana si pemilik tubuh itu menyusun aturan tubuh-tubuhnya. Secara mudahnya manusia ini dapat dikatakan mempunyai tiga jenis tubuh yakni tubuh zahir (fizikal), tubuh batin (emosi dan minda) serta tubuh rohani (spiritual). Maka setiap tubuh ini mempunyai pandangan yang berbeza terhadap setiap kejadian bergantung dengan siapa ketua mereka.

Jika tubuh zahir yang menjadi ketua maka selalunya ia akan disertai dengan hawa panas yang merimaskan tetapi jika sebaliknya tubuh spiritual yang dijadikan ketua yang membentuk pandangan kolektif manusia terhadap kehidupan, maka setiap kejadian itu akan dilihat sebagai satu rahmat.

Untuk memahaminya dengan lebih jelas lagi, kita ambil satu senario yang mana anda sedang menunggu seorang teman yang berjanji untuk bertemu dengan anda pada jam 3 petang. Untuk mengelakkan kesesakan jalan raya, anda mengambil keputusan untuk keluar dari rumah lebih awal agar dapat sampai ke tempat yang dituju sebelum jam 3 petang. Rancangan anda membuahkan hasil apabila anda dapat sampat ke tempat yang dijanjikan lebih awal iaitu kira-kira jam 2.40 petang. Anda kemudiannya mengandaikan yang teman anda akan datang selewat-lewatnya jam 3 petang sesuai dengan perjanjian sebelumnya. Anda mengambil satu keputusan untuk duduk menunggu teman anda di ruang menunggu sambil anda dapat dapat melihat keadaan sekeliling. Namun setelah lebih setengah jam menanti anda tidak melihat lagi kelibat teman anda di kawasan tersebut. Usaha anda seterusnya ialah menghubungi beliau namun dia tidak dapat dihubungi. Anda makin resah dan mula merasa kecewa bercampur geram. Sepuluh minit kemudia teman anda datang sambil memohon maaf atas kelewatannya. Dia kemudiannya menerangkan yang dia tersangkut dalam kesesakan jalanraya apabila kereta di hadapannya mendapat kemalangan. Sekali lagi dia memohon maaf kepada anda.

Jika kita lihat lebih dalam terhadap kejadian ini dan melihat dari perspektif mana anda menilai sesuatu kejadian maka kita akan melihat perbezaan impak kejadian terhadap hidup anda. Jika anda melihatnya dengan zahir kemudian batin dan barulah spiritual, maka impaknya adalah negatif kerana anda resah, marah, kecewa dan akhirnya mungkin bermasam muka. Apabila anda melihat dengan (1) ZAHIR – mata anda akan memerhatikan sekeliling, anda akan mula merasa dilihat dan anda juga mula malu. Maka anda akan cenderung melihat jam yang pada perkiraan anda mungkin lambat dan membosankan.

Kemudian (2) BATIN anda yang terdiri dari EMOSI dan MINDA mula memberi reaksi terhadap apa yang anda lihat dan dengar. Elemen emosi yang berada dalam lingkungan batin akan mula memberi reaksi negatif terhadap kejadian menunggu teman anda tadi. Anda mula beremosi, anda mula kecewa, anda juga mula untuk marah kepada teman anda kerana kelewatannya. Minda anda mula mencari jalan keluar dan harus anda ingat dalam keadaan beremosi jalan keluar yang selalu diambil adalah kurang rasional. Minda anda akan berkata-kata dan ianya secara tidak langsung ia kini mengusik ketenteraman tubuh spiritual anda.

(3) tubuh SPIRITUAL anda mengalami ketidaktentuan kerana konflik yang dicetuskan oleh emosi dan minda.


Emosi sering mengganggu minda dalam memberi pandangan yang bernas terhadap satu-satu kejadian. Justeru itu jika anda mengamalkan pengamatan terhadap hidup dengan aturan pandangan zahir, batin dan spiritual, anda akan mudah berada dalam lingkungan emosi yang saya gelar emosi murahan. Ini kerana anda amat mudah terkesan dengan setiap kejadian bahkan jika satu-satu kejadian itu baik tetap juga dipandang serong kerana anda sering dikuasai oleh impak pandangan batin yang beremosi dan minda yang sering mencari jalan keluar. Maka kebaikan itu juga akan dilihat buruk kerana jalan keluar dari kebaikan itu mengikut pandangan minda anda ialah mencari salahnya.

Tetapi jika anda seorang yang mengamalkan aturan pandangan mengikut susunan yang diketuai oleh tubuh spiritual maka impaknya adalah kebahagian dan ketenangan. Tiada lagi emosi murahan yang mampu menggugat ketenteraman jiwa anda bahkan anda akan menjadi seorang yang sering berfikiran rasional biar apapun keadaan yang menimpa.

Jika kita ambil kembali senario kejadian tadi yang dilihat pada pandangan awalnya ialah (1) SPIRITUAL, maka jiwanya tenteram kerana dia redha dengan keadaan yang kini perlu dihadapi iaitu menanti kedatangan temannya. Dia redha kerana dia tahu bahawa Allah swt mengaturkan segalanya. Dia tahu bahawa kelewatan temannya itu pasti bersebab kerana disebalik setiap kejadian itu ada sebabnya.

Daripada Ibni Abbas katanya : Pada satu hari saya berada dibelakang Nabi saw. Maka sabdanya “hai budak! Akau mahu ajar kamu beberapa kalimah : Awasilah Allah, Dia pasti akan memeliharamu. Peliharalah Allah pasti Dia berada disampingmu. Bila engkau minta, maka mintalah dengan Allah, bila mahu pertolongan, minta tolonglah daripada Allah. Ketahuilah sekiranya umat manusia bekerjasama menolongmu mereka tidak dapat menolong melainkan apa yang ditulis Allah dan sekiranya mereka bekerjasama untuk menyakitimu, mereka tidak dapat berbuat apa-apa selain dari apa yang telah disuratkan Allah. Pena sudah diangkat dan buku sudah ditutup” (HR Tarmizi).

Jika mereka mengambil pandangan spiritual sebagai pandangan awal maka mereka akan dapat menghayati hadis ini yang mana setiap kejadian itu telah disuratkan dan kita perlu redha. Bertolak dari titik itu dia akan memberi laluan pandangan kepada batin.

(2) BATINnya akan tersusun kerana MINDA akan mula memahami hikmah di sebalik kejadian. Minda akan menilai setiap perjalanannya yang mungkin dapat memberi satu ilmu pengetahuan. Dia dapat mempelajari sesuatu dari kejadian itu hasil pengamatan terhadap keadaan sekelilingnya. Pemahaman itu meredam emosi negatif yang melonjakkan emosi positif ke hadapan. Dia akan berterima kasih ke hadarat ilahi atas kurniaan ilmu yang diperolehinya dari penantian seorang teman.

(3) tubuh ZAHIR akan bereaksi sesuai dengan emosi positif yang mendominasinya. Dia tersenyum bahagia ketika menyambut kedatangan temannya biarpun lewat dan mendengar butiran keterangan dari si teman dengan sepenuh jiwa. Jika anda dapat melazimkan amalan dengan melihat setiap kejadian dari sudut (1) spiritual (2) batin dan akhirnya (3) zahir, anda insyaAllah akan sering berhadapan dengan pengalaman yang menyenangkan dan anda juga menjadi seorang yang bijak dalam membuat sebarang keputusan.

Jika anda memilih untuk terus menjadikan pandangan zahir sebagai pandangan awal anda, anda telah membawa masuk ketidaktenteraman kepada batin yang akan membuatkan jiwa anda tertekan.

Anda mempunyai pilihan dan jika anda rasakan yang mengambil pandangan awal dari sudut spiritual itu susah, maka anda melakukan satu penilaian yang salah. Setiap yang anda lakukan hari ini adalah terhasil dari kebiasaan anda. Anda sudah terbiasa dari kecil memakan nasi sebagai makanan ruji maka jika anda disuruh menjadikan roti sebagai makanan asas ia akan memeritkan. Tetapi jika anda mampu menjadikannya satu kebiasaan ianya bukan lagi satu perkara yang memeritkan. Begitulah juga dengan pandangan anda, hanya pada awalnya ia dilihat seperti sesuatu yang sulit tetapi setelah ianya menjadi satu kebiasaan ianya akan secara otomatik berfungsi mengikut aturan yang anda inginkan. Selamat mencuba..

Aisha: Moga dapat mengambil manfaat dari apa yang disampaikan...jangan biarkan diri anda dikuasai tenaga negatif...positifkan kembali diri anda...

SOUL POWER
Sifu Dr Azhar Hj Sarip
Soul Axis Management

Tuesday, July 6, 2010

Along...

SELAMAT HARI LAHIR.....Happy Birthday...SANAH HELWA..

BUAT ABANG LONG...WAN HASAN BIN WAN ABDULLAH...

YANG KE 40... 05 JULAI 1970...

Semoga sentiasa dalam limpah kasih sayang Pencipta....sentiasa sihat ...dan dkurniakan keberkatan hidup..anak-anak yang soleh solehah...insyaAllah..ameen...

hurmm..abe ipar yang sentiasa tersenyum...sabar dengan karenah adik-adik...terima kasih abe long...

Sunday, July 4, 2010

Kepayahan = Latihan , Kesenangan = Ujian

Setiap hari merupakan satu pengalaman untuk kita. Mungkin kita tidak pernah meminum secawan kopi yang begitu pahit tetapi hari ini kita secara tidak sengaja teleh meminum secawan kopi pahit. Satu pengalaman yang mungkin akan dikenang sepanjang hayat.

Hari ini kita telah memandu ke satu daerah yang belum pernah kita sampai, sewaktu sampai sahaja di daerah itu kita begitu sukar untuk sampai ke destinasi yang dituju kerana sememangnya kita tidak tahu langsung selok belok jalan-jalan di situ. Banyak kali kita tersesat dalam perjalanan. Itu hari pertama tetapi pada hari kedua kita mulai faham jalan sekitar tempat kediaman dek kerana pengalaman sesat semalam. Mungkin juga semalam anda telah mengalami satu kejadian yang akan memberi kesan dalam hidup anda.

Pengalaman pada saya merupakan satu kejadian yang telah lepas samada baru tadi tadi ianya berlaku atau mungkin juga kejadian tersebut berlaku beberapa hari lepas. Keseimpulannya pengalaman hanya akan kita perolehi apabila kita telah melewati waktu-waktu yang kita alami setiap saat. Pengalaman adalah sesuatu yang praktikal dan tidak akan dapat diperolehi secara teori. Pengalaman melibatkan rasa dan perasaan.

Kita mungkin sebelum ini tidak pandai memasak dan hanya belajar dengan membaca buku-buku masakan tanpa mencubanya tetapi kita akan lebih pandai jika kita mempraktikkan apa yang dibaca dan kesilapan-kesilapan yang berlaku adalah satu pengalaman baru bagi kita. Pengalaman lebih mudah diingati daripada pembacaan.

Kita sering merasa tertekan apabila berhadapan kepayahan. Kepayahan bagi kita satu pengalaman buruk yang sebolehnya kita hindari. Kepayahan bagi sesetengan orang adalah milik mereka yang tidak tahu mengatur hidup. Walau di mana pun kita berada kita sering terdengar akan rengusan atau keluhan manusia tentang kepayahan. Saya melihatnya dari satu sudut yang lain.

Cuba bayangkan anda tidak pernah langsung mengalami kepayahan apakah yang akan terjadi jika satu ketika anda melihat orang yang berada dalam kepayahan. Mungkin perasaan perikemanusiaan anda amat kurang dan ini menunjukkan nilai cinta anda sesama makhluk juga begitu kurang. Jika anda tidak pernah menghadapi kepayahan, anda juga tidak akan pandai menilai erti kesenangan.

Kepayahan pada pandangan saya adalah satu langkah kematangan hidup dan juga satu jalan mencari jawapan kepada setiap persoalan yang kita hadapi. Untuk mengatasinya kita perlu bergantung secara total kepada Allah swt, menguasai diri kita, menguasai emosi kita serta berusaha untuk memberi yang terbaik terhadap penyelesaiannya. Apabila berjaya kita akan mula melangkah lebih jauh dan kesilapan seringkali berlaku dalam fasa kedua iaitu untuk mengekalkan kesenangan.

Sewaktu kita berada dalam kepayahan kita sentiasa ingat Allah swt dan berdoa kepadanya agar memberikan jalan keluar yang terbaik untuk diri kita, tetapi apabila kesenangan menjenguk diri kita mula berkurangan menyebut nama Tuhan yang telah membantu kita.
Oleh yang demikian saya merasakan bahawa kesenangan itu satu ujian.

Kita akan diuji hanya setelah kita menjalani latihan. Ramai yang mungkin salah faham kerana mengganggap ujian itu datang ketika kepayahan. Bagi pengamal Meditasi Super Sedar, ujian adalah sewaktu kita menghadapi kesenangan. Dengan kesenangan itu kita mungkin menjadi seorang yang tamak, mungkin menjadi seorang yang sibuk dan yang paling menggerunkan ialah menjadi seorang yang lupa Tuhan. Jika kita tahu bahawa kesenangan itu satu ujian kita akan menghadapi kesenangan itu dengan lebih berhati-hati dan menguasainya lebih daripada apa yang kita lakukan sewaktu zaman kepayahan. Kita juga tahu kesenangan itu boleh menjatuhkan kita dengan lebih teruk daripada kepayahan.

Ketika payah kita hanya jatuh secara fizikal dan emosi tetapi ketika senang kita jatuh dari segi rohani dan jika dibiarkan, kita akan lebih mengingati kesenangan yang kita ada lebih dari mengingati Allah swt. Sewaktu senang juga kita lebih takut untuk menjadi susah daripada takut kehilangan cinta Allah swt. Kita mula merasakan apa yang kita kecapi hari ini adalah kerana usaha kita dan bukan pemberian Allah swt. Permainannya begitu halus.

Maka fahamilah secara bijaksana apa itu kepayahan dan apa itu kesenangan. Kepayahan itu mungkin boleh membunuh tetapi caranya kasar manakala kesenangan itu sebenarnya lebih bahaya. Ini tidak pula bermakna kita tidak perlu mencari kesenangan. Kita perlukan kesenangan tetapi kita perlu menguasai diri kita sewaktu kita berada dalam lingkungannya kerana kepayahan itu satu latihan hidup dan kesenangan itu ujiannya. Kita perlu lulus dalam ujian agar mendapat kesenangan di kedua-dua alam.


Dr.Azhar Sarip
Perunding Emosi,Soul Axis Management

Saturday, July 3, 2010

Si Bulan Julai

Pejam celik...pejam celik dah masuk bulan Julai dah... exam All One Qiraat pun dah tak lama dah...insyaAllah semua najah sofi ...ameen..tapi ni bukan nak citer about nak exam..tapi nak kenali personaliti orang yang lahir bulan Julai mengikut kajian Dr. Fadzilah Kamsah...

- Sangat suka didampingi
-Banyak berahsia dan sukar dimengerti terutamanya lelaki.
-Agak pendiam kecuali dirangsang
-Ada harga dan maruah diri
-Tak suka menyusahkan orang lain tetapi tidak marah apabila disusahkan
-Mudah dipujuk dan bercakap lurus
-Sangat menjaga hati orang lain
-Sangat peramah
-Emosi sangat mendalam tapi mudah terluka hatinya.
-Berjiwa sentimental
-Jarang berdendam
-Mudah memaafkan tapi sukar melupakan
-Tidak suka benda remeh-temeh.
-Membimbing cara fizikal dan mental
-Sangat peka,mengambil berat,dan mengasihi serta penyayang
-Layanan yang serupa terhadap semua orang.
-Tinggi daya simpati
-Pemerhatian yang tajam
-Suka menilai orang lain melalui pemerhatian
-Mudah dan rajin belajar
-Suka muhasabah diri
-Suka mengenangkan peristiwa atau kawan lama
-Suka mendiamkan diri
-Suka duduk di rumah
-Suka tunggu kawan tapi tak cari kawan
-Tidak agresif kecuali terpaksa.
-Lemah dari segi kesihatan perut
-Mudah gemuk kalau tak kawal diet
-Minta disayangi
-Mudah terluka hati tapi lambat pulih
-Terlalu mengambil berat
-Rajin dalam membuat kerja

ini hanyalah sekadar kajian sahaja..kita sendiri yang lebih mengenali perwatakan diri kita...kalau kita tak kenal diri kita sendiri tu..hurmm ada something lar tu..(^_^)

*** catatan buat yang lahir bulan Julai.. (^_^)
Firman Allah S.W.T
"Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang SABAR"