Sunday, July 8, 2007

MAHASISWA PERLU BERPERSATUAN

Oleh Norsyuhada binti Mustaffa Naib Yang Dipertua

Persatuan Mahasiswa IslamUniversiti Malaya (PMIUM)

Pada 1 haribulan ini, kebanyakan laman-laman ilmu di negara ini akan menerima kehadiran orang baru. Laman yang penuh dengan ilmu dan kaya dengan dengan pengalaman ini bakal menerima para pelajar yang telahpun menempa kejayaan cemerlang sama ada di sekolah menengah dahulu, semasa di matrikulasi, diploma mahupun pra ijazah.


Bagi mereka yang menerima keputusan cemerlang, sudah tentu mereka akan tersenyum bahagia kerana telahpun sedia menempah tiket ke universiti dalam jurusan idaman masing-masing. Tinggal sahaja hayunan langkah pada hari pendaftaran tersebut. Bagi yang tidak mendapat IPT idaman, kita haruslah redha dengan qada’ dan qadar Ilahi kerana ada hikmah tersembunyi yang masih belum diketahui. Seperti wahyu Ilahi buat hamba-Nya “..Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu..”


Menyentuh mengenai universiti, tidak dapat tidak persatuan merupakan antara elemen terpenting yang menghidupkan suasana universiti tersebut. Bukan sahaja suasana, malahan dengan persatuan jugalah para mahasiswa akan diperkenalkan dengan hal-hal pentadbiran, pengurusan, ilmu dan pengalaman. Ini merupakan satu usaha yang baik kerana dengan berpersatuan, kita akan menimba ilmu yang bersifat praktikal. Ia ibarat satu mata tambah dan bakal digunakan oleh para mahasiswa tunjang negara kelak.Betapa signifikannya berpersatuan, hinggakan ianya tidak dapat disangkal lagi. Lihat sahaja individu yang berjaya dan cemerlang pada hari ini. Semuanya lahir dari rahim persatuan malahan terlibat aktif dalam persatuan. Tidak kiralah Persatuan Mahasiswa yang berorientasikan agama seperti Persatuan Mahasiswa Islam dan sebagainya. Selain itu, persatuan yang memperjuangkan bahasa seperti Persatuan Bahasa Cina, Persatuan Bahasa Tamil juga persatuan anak negeri masing-masing. Pemimpin-pemimpin negara pada hari ini juga dibentuk oleh persatuan dan menimba banyak ilmu kehidupan dari aktiviti berpersatuan. Antaranya adalah Perdana Menteri kita sendiri. Siapa pula tidak kenal kepada nama-nama hebat seperti Dato’ Zahid Hamidi, Datuk Seri Rais Yatim, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Dato’ Husam Musa dan banyak lagi. Semuanya menjadi pemimpin masyarakat dan banyak memberi pengaruh kepada negara.Dari berpersatuan, kita akan didedahkan dengan pelbagai ilmu sama ada ilmu kepimpinan, ilmu berorganisasi, pengurusan, sekretariat, teknikal, komunikasi dan negosiasi, kewangan, penyelidikan dan sebagainya. Kita akan cuba untuk menjadi pemimpin yang baik mahupun pengikut yang baik. Masa juga akan dihargai dengan semaksimum mungkin dan kita mempunyai disiplin yang tinggi. Terdapat bukti juga bahawa dengan berpersatuan tidak sama sekali menjejaskan akademik, malah ia lebih meningkat. Ini kerana, kita lahir sebagai seorang mahasiswa yang idealis dengan ilmu, masa dan juga pengurusan diri. Kita tidak dapat memperolehi segala ini dari bilik-bilik kuliah. Sesungguhnya, semua ini amat berharga buat kita apabila kita menjejakkan kaki ke luar laman kampus. Kita mempunyai added-value yang tinggi dan multi-talented. Para majikan akan lebih berpuas hati dengan kerja kita dan menghormati kita dek kerana kayanya pengalaman kita. Ini berbeza dengan mereka yang tidak pernah terlibat dengan persatuan. Mereka kekok untuk melakukan sesuatu tugas, dan hanya untuk membuat sekeping surat pun mengambil masa selama beberapa hari!Akan tetapi, aling penting dalam berpersatuan adalah kebersamaan dan kesatuan. Kita didedahkan dengan budaya team-work. Dengan itu, kita bijak dalam membaca tindak tanduk manusia dan ia turut mengajar kita tentang sikap yang baik seperti toleransi, bertolak ansur, bertimbang rasa, patuh pada arahan pimpinan, bekerjasama dan banyal lagi sifat positif lain. Kita akan lebih kuat dalam mengharungi kehidupan di kampus kerana kita mempunyai rakan-rakan dalam persatuan yang boleh menolong kita apabila kita mempunyai sesuatu masalah. Lebih ramai orang juga dapat dikenali kerana kita banyak bergaul dan berhubung.Kesimpulannya, para mahasiswa haruslah mengikis budaya yang semakin menyempitkan minda mahasiswa sekarang. Inilah yang membimbangkan PMIUM. Mereka malas untuk berpersatuan. Masa banyak dihabiskan di bilik-bilik untuk menonton VCD, berdating, chatting dan keluar membeli-belah malahan mereka lebih suka begitu. Masa juga banyak dihabiskan secara sia-sia tanpa sesaat pun digunakan untuk memikirkan apa yang dapat kita sumbangkan untuk kegemilangan universiti dan juga masyarakat. Jika terus-terusan begini, produk yang bakal kita lahirkan sangat tidak berkualiti dan prestij universiti juga malah semakin merudum.
Firman Allah S.W.T
"Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang SABAR"