Tuesday, May 3, 2011

Buat Mata yang Sedang Menangis

Duhai mata yang sedang menangis…

Mungkin tika ini kau sedang bahagia,mungkin juga kau sedang berduka.Apapun situasimu, air yang menggenangi kelopakmu dan mengalir ke pipi ialah anugerah Allah s.w.t yang tak terhingga. Ia mampu membuang racun di tubuhmu kemudian disusuli ketenangan jiwa. Bersyukurlah padanya kerana hingga saat ini kau masih mampu menangis.
Sungguh hairan kumelihat orang yang merasakan tangisan itu satu kelemahan.Malah menganggapnya satu lambing ketidakmatangan.Sedangkan Allah s.w.t merakam mulia sebuah tangisan dalam firman-Nya, “dan mereka menyungkur (sujud) di atas muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyuk”. (surah al-isra’:109)
“Apabila dibacakan ayat-ayat Allah Yang Maha Pemurah kepada mereka,maka mereka menyungkur dengan bersujud dan menangis.” (surah maryam:58).

Duhai mata yang sedang menangis…

Tahukah dikau,jika dikaji dari perspektif sains,tangisanmu mampu menjadi terapi kesihatan yang berguna dalam merawat penyakit berbahaya. Tatkala dirimu dalam ketakutan,unsure-unsur berbahaya dijana oleh tubuh. Air mata secara semulajadi boleh membuangnya. Otak pula bekerja mengeluarkan unsure-unsur kimia daripada air mata. Bukan itu sahaja, tangisan menambah jumlah degupan jantung sebagai latihan berguna buat sekatan rongga badan,kedua-dua bahu dan urat-urat dada. Setelah tangisan reda,kembalilah degupan jantung ke asalnya dan ketenangan mula menguasai jiwa. Subhanallah,hebat sungguh penciptaan airmata.

Duhai mata yang sedang menangis…

Tangisan bukan keaiban tapi satu keperluan. Sama ada kau lelaki atau wanita, kau perlu pada tangisan. Ia menjernihkan kornea dan menajamkan penglihatan. Ia meringankan ketegangan jiwa. Ia mengungkapkan kesedihan lalu merungkai beban yang tersimpan.

Jika kau lelaki,kenapa perlu malu pada tangisan? Mungkin sosiobudaya mendidikmu bahawa tangisan itu satu kelemahan dalam mengendalikan kemampuan. Kau mungkin dipisahkan antara diri dengan perasaanmu sendiri oleh didikan silam. Apa pun, tak siapa dapat menafikan kau juga insane yang punyai hati dan perasaan. Isi hatimu kadangkala perlu diluahkan dengan tangisan untuk mengurangkan tekanan dan risiko penyakit. Usah menipu diri berlagak kuat dengan menafikan air mata kelak badanmu mendapat darurat.

Jika kau wanita, kau mungkin lebih banyak menangis daripada lelaki. Tahukah dikau,penyayang-Nya Allah s.w.t padamu hingga Dia menciptakan kalenjar-kalenjar air matamu lebih besar daripada kalenjar-kalenjar air mata lelaki. Tidak hairanlah kajian ilmiah menunjukkan kau menangis empat kali lebih banyak daripada lelaki.
Ia antara penyebab panjangnya usiamu berbanding lelaki. Masakan tidak, air matamu keluar bersama keluarnya peratusan racun dari tubuh. Doktor pakar mata berkata, air mata penting untuk menyucikan mata daripada racun yang keluar akibat ketegangan urat saraf perasaan dan emosi yang tidak stabil.

Duhai mata yang sedang menangis…

Sungguh bertuah kau masih mampu menangis.Usah ditahan tangisan itu. Luahkannya dengan rasa takut dan harap pada Tuhanmu. Benar,tangisanmu itu tak mampu mengembalikan masa lalumu. Jangan biarkan tangisan itu membibitkan kabus pada masa depanmu. Anggaplah ia sebahagian daripada masa sekarangmu untuk melonjakkan amal dan perubahan untuk hari esok.

Sesungguhnya tangisan kerana Allah s.w.t ketika gembira atau derita ialah ubat mujarab untuk mencari ketenangan hidup. Dengarilah pesanan Rasulullah s.a.w dalam menyampaikan kalam Yang Esa, “Aku haramkan neraka kepada mata yang selalu menangis kerana takut kepada Allah.” (Riwayat Ahmad dan al-Nasa’i).

**Fatimah Syarha Mohd Noordin
Majalah Solusi

1 comment:

ummuainries said...

semoga mata yg menangis kerana takutkan Allah selamatlah dr dibakar di akhirat nanti...

Firman Allah S.W.T
"Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang SABAR"