Wednesday, January 30, 2008

Pelajar IPT:boleh mengundi,tak boleh terlibat...

KOTA BAHARU: Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapa Mohamed hari ini mengingatkan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta bahawa mereka boleh mengundi jika nama tersenarai di dalam daftar pengundi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi jangan sekali-kali mengambil bahagian dalam aktiviti mana-mana parti politik.
Mustapa berkata pelajar tidak seharusnya hilang fokus terhadap tugas utama mereka iaitu belajar dan membiarkan diri dipengaruhi pihak tertentu untuk terlibat dalam politik.
"Mereka boleh mengundi jika berdaftar tapi tidak boleh ambil bahagian cergas dalam mana-mana parti politik termasuk melakukan demonstrasi dan seumpamanya. Kita tidak akan benarkan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat tahun baru 2008 kepada pelajar IPT awam dan swasta seluruh Kelantan di sini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Angkasawan Negara Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha yang turut menceritakan pengalaman beliau semasa berada di angkasa lepas kepada lebih 2,000 pelajar IPT awam dan swasta seluruh Kelantan.
Katanya tindakan keras akan diambil terhadap pelajar yang menyalahi Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 termasuk dibuang daripada pengajian dan mereka tidak akan diterima mana-mana IPT awam dan swasta yang lain.
Beliau berkata kementerian telah mengarahkan semua IPT memantau pelajar masing-masing sepanjang musim Pilihan Raya Umum ke-12 nanti.
Katanya beliau juga telah mengadakan perjumpaan dengan pemimpin pelajar 10 IPT dan kesemua mereka berjanji akan mematuhi peraturan yang ditetapkan berhubung perkara itu.
"Mereka turut menyatakan pendirian tidak bersama dengan segelintir kecil pelajar yang telah dipengaruhi pihak tidak bertanggungjawab dan majoriti pelajar IPT sendiri mengakui mereka tidak senang dengan tindakan keterlaluan sesetengah pelajar yang telah terpengaruh itu," katanya. BERNAMA

No comments:

Firman Allah S.W.T
"Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang SABAR"