Wednesday, October 22, 2008

Cinta....

Cinta…
Suatu kalimah yang begitu indah untuk diungkapkan, apatah lagi apabila dimiliki… Satu istilah yang menggambarkan suatu perasaan harmoni, sayang, dan tenteram yang lahir dari dalam lubuk hati bernama insan dan sebahagian besar makhluk bernyawa…

------MENCINTAI ALLAH------
Dalam melampiaskan perasaan cinta, dari jiwa, hati dan naluri… cinta yang teragung mestilah untuk-Nya, untuk Dia. Tuhan yang Maha Esa. Yang mengurniakan kita segala-galanya yang kita miliki saat ini. Dia yang menjaga kita setiap detik, setiap saat… di mana jua posisi mhupun lokasi kita. Samaada kita berperangai baik mahupun sebaliknya. Dia tetap mengawasi kita.
Dalam persoalan cinta ini… persoalan iman adalah persoalan yang besar dan memainkan peranan yang utama dalam memberikan buah yang terbaik. Dengan iman-lah, membuahkan percaya. Dengan percaya-lah, membuahkan cinta. Dengan cinta membuahkan sayang dan tenteram. Lalu melahirkan harmoni…


Perlu difahami bahawa hakikat mencintai Allah adalah merupakan asas untuk memperolehi kesempurnaan Iman. Tidak dikatakan beriman seseorang itu jika dia tidak mencintai Allah, kerana setiap individu yang mengaku dirinya beriman wajib terlebih dahulu mencintai Allah dengan sepenuh hatinya tanpa berbelah bagi. Belum sempurna akidah seseorang jika ia belum menyerahkan sepenuh cintanya kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t tidak akan menganugerahkan kemanisan iman (iman yang teguh) kecuali setelah seseorang itu benar-benar mencintai-Nya lebih dari segala-galanya. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w:
Kemanisan iman, lahirnya dari sebuah cinta yang tulus…


"Tiga perkara yang menjadikan kamu memperolehi kemanisan (kesempurnaan) iman, iaitu mencintai Allah dan RasulNya lebih dari selain keduanya". (Hadis Riwayat al-Bukhari)

"Cintailah Allah dengan sepenuh hati kamu". (Hadis Riwayat at-Tirmizi dan al-Hakim)
Cinta terbina kerana kita adalah hamba. Cinta yang lahir atas dasar ubudiyyah. Kita adalah insan, makhluk yang senantiasa mengharapkan kemurahan sifat dari-Nya… Andainya, sifat pemurah-Nya jauh dari kita… bagimanalah keadaanya kita…


"Cintailah Allah yang telah memberi kamu makan dari nikmatNya" (Hadis Riwayat at-Tirmizi dan al-Hakim)

Dalam mengharap cinta… bercintalah atas dasar binaan dari cinta kepada-Nya. Cinta yang lahir dengan didasari memburu redha Ilhai. Terbina dengan jalinan dan ikatan yang dilaksanakan atas practical-nya sifat uluhiyah dan ubudiyyah. Demi sebuah ketulusan sebagai seorang hamba kepada Rabb.

"Aku memohon cinta-Mu (ya Allah), cinta sesiapa yang mencintai Engkau dan mencintai amal yang membawa aku dekat kepada Engkau". (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Dalam persoalan iman/tauhid/akidah, cinta itu dapat dibahagikan kepada beberapa bahagian sepertimana yang diutarakan ini…

1 – Pertamanya…

Cinta secara tabii atau secara fitrah yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t kepada hamba-Nya. Ia terbahagi kepada beberapa bahagian, iaitu:

(i). Cinta secara tabii yang muncul dari perasaan rahmah (belas kasihan) dan kasih sayang, seperti mencintai ibu bapa, isteri, anak-anak dan keluarga sebagaimana firman Allah:

"Dijadikan indah pada (pandangan) manusia itu fitrah kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu wanita-wanita dan anak-anak". (Ali Imran 3:14)

Walaupun hakikat cinta seperti ini dikurniakan oleh Allah kepada hambanya yang bergelar insan… malah diizinkan oleh syara’, namun ia tetap memiliki batas yang perlu dipegang dan dijaga supaya tidaklah nanti membelakangkan cintanya kepada Allah dan ditakuti menjerumuskan dirinya ke dalam melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh agama kerana terpengaruh dengan perasaan, nafsu, kepentingan dan kehendak orang yang dicintainya atau benda-benda yang dicintainya. Dalam hal ini, Allah memberikan peringatan-Nya supaya manusia tidak tersilap langkah lalu terpengaruh kepada hal-hal yang membahayakan dirinya hasil dari perasaan cinta yang dimiliki…

"Hai orang-orang beriman, sesungguhnya di antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu, maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka". (at-Taghaabun 64:14)

(ii) Cinta secara tabii/fitrah seperti mencintai makanan dan minuman yang terbit lantaran takut ditimpa kelaparan dan kehausan. Mencintai harta kerana takut dihimpit kepapaan atau mencintai kesihatan lantaran takut diserang penyakit. Mencintai perkara-perkara yang tersebut di atas tetap tidak dibolehkan melampaui batas (ghalu) sehingga melupakan Allah dan tanggung jawab ibadah terhadap-Nya seperti berzakat, infak dan sedekah. Kerana mencintai perkara-perkara tersebut sehingga ke tahap berlebih-lebihan merupakan perbuatan jahiliyyah yang boleh membawa kepada perbuatan syirik dan melupakan Allah.

Dalam perkara ini, Allah berfirman:
"Dan kamu tidak saling mengajak memberi makan orang miskin, kamu memakan harta pusaka dengan cara mencampur-baurkan (yang halal dan yang batil) dan kamu mencintai harta benda dengan kecintaan yang berlebihan". (al-Fajr 89:18-20)

Orang-orang yang beriman mencintai makanan, minuman dan benda-benda keduniaan demi kerana atas dasar cintanya terhadap Allah, dan cintanya terhadap semuanya itu tidak dapat mengatasi cintanya terhadap Allah, sehingga tidak akan merasa kikir untuk mengeluarkan zakat, infak atau bersedekah. Sikap orang mukmin itu suka memberi sedekah makanan dan benda-benda yang disukainya. Kerana orang mukmin sentiasa mencintai akhiratnya lebih dari dunianya dan bukan sebaliknya.

Sebagaimana firman-Nya:
"Dan mereka memberikan makanan yang disukainya (digemarinya) kepada orang miskin, anak yatim dan orang-orang tawanan". (al-Insaan 76:8)
"Orang-orang yang lebih mencintai kehidupan dunia daripada kehidupaan akhirat". (Ibrahim 14:3)
"Hai anak Adam! pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berlebih-lebihan". (al-A’raaf 31:7)
(iii). Termasuk cinta yang tabii/fitrah juga adalah mencintai kesempurnaan, kenikmatan dan keelokan/kecantikan sama ada yang bersangkut-paut dengan ilmu pengetahuan atau sesuatu yang tabii seperti mencintai budi pekerti luhur dan amanah, mencintai kesempurnaan hasil reka-cipta yang membawa kepada kebaikan dan seumpamanya.
Umpamanya, dengan adanya sikap mencintai budi pekerti yang luhur seperti amanah nescaya akan menghasilkan tindakan/natijah yang bermutu kerana tabii manusia suka kepada setiap yang bermutu.
Mencintai kenikmatan seperti mencintai manisan madu, kelazatan makanan dan sebagainya adalah cinta secara tabii yang ada pada setiap fitrah kelahiran manusia. Hal seperti ini, termasuklah juga dalam hal mencintai kecantikan isteri, kecantikan kenderaan, keindahan rumah, kecantikan pakaian, perhiasan, pemandangan yang indah dan sebagainya. Cinta dalam hal seperti ini diharuskan selagi tidak keterlaluan dan berlebih-lebihan.
Seorang sahabat pernah bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w tentang sikapnya yang suka kepada kecantikan, lalu Nabi memuji sikapnya itu asalkan tidak membawa kepada riyak dan pembaziran. Kemudian baginda menegaskan bahawa Allah itu cantik, Dia suka kepada kecantikan yang ditunjukkan oleh hamba-Nya sebagaimana sabda baginda:
"Allah itu cantik, Dia sukakan kecantikan".
Manusia dianugerahkan oleh Allah dengan perasaan cinta, maka dengan itu juga, Allah tidak lupa meng-anugerahkan garis panduan dalam menghadapi persoalan cinta yang tertanam di lubuk jasad setiap insan. Dengan agama-lah kita mampu mengawal perasaan cinta, anugerah yang indah ini dengan penuh hikmah dan bijaksana. Kepada Allah-lah wajar kita merujuk hakikat kecintaan yang asalnya memang dianugerahkan oleh-Nya…


"Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik (syurga)". (Ali Imran 3:14)

(iv). Seterusnya, hakikat cinta juga ditujukan/dilahirkan atas dasar kebaikan yang ditonjolkan dan mencintai orang yang berlaku baik (orang yang beriman) seperti mencintai pengorbanan seseorang sahabat, pertolongan seseorang di masa kecemasan dan seumpamanya. Dalam hal ini juga masih tetap tidak boleh melampaui batas dan berlebih-lebihan terhadap apa yang dicintai.

Rasulullah s.a.w telah bersabda:
"Tidak beriman seseorang kamu sebelum mencintai saudaranya sebagaimana mencintai dirinya sendiri". (Hadis Riwayat al-Bukhari.)


"Dari Ibn Abbas berkata: Sesiapa yang mencintai (saudaranya yang mukmin) kerana cintanya pada Allah, membenci (orang-orang kafir dan fasik) kerana mencintai Allah dan membenci (musuh-musuh) kerana cintanya pada Allah. Maka ia akan diangkat menjadi Waliullah kerana cintanya. Seseorang hamba tidak akan merasai kemanisan iman sekalipun banyak bersembahyang dan berpuasa sehinggalah ia menjadi seperti itu (mencintai Allah)". (Hadis Riwayat Ibn Jarir)

2 – Keduanya…

Cinta yang merosakkan tabii/fitrah, seperti mencintai apa sahaja yang berkaitan dengan dunia untuk memuaskan hawa nafsunya dan meninggalkan saranan wahyu bagi membimbing rasa cinta yang terwujud itu. Seseorang itu dianggap telah melanggar fitrahnya walaupun pada diri seseorang yang mengakui sebagai Muslim. Persoalan dalam hal ini adalah seperti mencintai harta kekayaan dengan rakusnya, melibatkan diri di dalam kancah politik taghut, mengamalkan ekonomi kuffar, perundangan bukan dari saranan wahyu dan apa sahaja yang memberi keuntungan pada dirinya yang lantas menjadikannya menyisihkan agama atau ketetapan syara’. Orang-orang yang rosak tabiinya seperti ini dianggap sebagai berdosa dan mungkin ditakuti menjadi fasik malah tidak akan mendapat petunjuk daripada Allah jika tidak bertaubat. Ianya adalah sebagaimana firman-Nya:
"Yang demikian itu disebabkan kerana sesungguhnya mereka mencintai kehidupan di dunia lebih dari akhirat dan bahawasanya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang ingkar". (an-Nahl 16:107)


Antara lain… cinta yang terkeluar dari bimbingan syara’ ialah perbuatan mencintai dunia sehingga membawa kepada sifat lalai terhadap kewajipan agama akibat memiliki sikap yang berlebih-lebihan. Hal ini juga telah diceritakan oleh Allah di dalam al-Quran:
"Maka ia berkata: Sesungguhnya aku menyukai kesenangan terhadap barang yang baik (kuda) sehingga aku lalai mengingati Tuhanku sampai kuda itu hilang dari pandangan". (Saad 38:32)


3 – Ketiga…

Dalam bahagian yang seterusnya ini, ia adalah difokuskan kepada persoalan cinta yang ter-agung sekali. Iaitu merupakan cinta yang khusus untuk Allah s.w.t yang melibatkan amalan ubudiyah yang tidak boleh berbelah bagi atau disekutukan dengan makhluk. Cinta dalam hal ini merangkumi persoalan ketaatan, mengagungkan, menyerah diri, tunduk dan khusuk semata-mata untuk Allah, kerana Allah yang mana tidak boleh disekutukan dengan makhluk-Nya. Menyekutukan cinta yang bersifat ubudiyah adalah merupakan sebahagian daripada perbuatan jahiliah, amat keji, mungkar dan membawa kepada syirik. Perbuatan yang membawa kepada kesyirikan digambarkan oleh Allah di dalam al-Quran seperti berikut:

"Dan antara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah. Mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman itu bersangatan cintanya kepada Allah". (al-Baqarah 2:165)
Ayat di atas menunjukkan wujud di kalangan manusia yang mempersembahkan perasaan cinta terhadap makhluk lebih dari mencintai Allah s.w.t sehingga mengangkat dan menyanjungnya ke taraf ketuhanan. Ayat di atas juga menunjukkan bahawa sesiapa yang menyintai sesuatu lebih dari menyintai Allah sehingga melampaui batas, maka apa yang dicintai itu telah dijadikan andad, iaitu sesuatu yang diserupakan atau disetarakan dengan Allah s.w.t. yang mana Allah sendiri dengan jelas mengharamkan perbuatan sedemikian, sebagaimana firman-Nya:


"Maka janganlah kamu membuat tandingan (peyerupaan) bagi Allah, pada hal kamu mengetahui". (al-Baqarah 2:22)

Dalam sahih al-Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Masoud, beliau berkata:
"Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w; wahai Rasulullah, dosa apakah yang paling besar? Beliau menjawab: Engkau meyamakan Allah (dengan makhluk) sedangkan Dia mencipta engkau".
Firman Allah S.W.T
"Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang SABAR"