Setiap hari merupakan satu pengalaman untuk kita. Mungkin kita tidak pernah meminum secawan kopi yang begitu pahit tetapi hari ini kita secara tidak sengaja teleh meminum secawan kopi pahit. Satu pengalaman yang mungkin akan dikenang sepanjang hayat.
Hari ini kita telah memandu ke satu daerah yang belum pernah kita sampai, sewaktu sampai sahaja di daerah itu kita begitu sukar untuk sampai ke destinasi yang dituju kerana sememangnya kita tidak tahu langsung selok belok jalan-jalan di situ. Banyak kali kita tersesat dalam perjalanan. Itu hari pertama tetapi pada hari kedua kita mulai faham jalan sekitar tempat kediaman dek kerana pengalaman sesat semalam. Mungkin juga semalam anda telah mengalami satu kejadian yang akan memberi kesan dalam hidup anda.
Pengalaman pada saya merupakan satu kejadian yang telah lepas samada baru tadi tadi ianya berlaku atau mungkin juga kejadian tersebut berlaku beberapa hari lepas. Keseimpulannya pengalaman hanya akan kita perolehi apabila kita telah melewati waktu-waktu yang kita alami setiap saat. Pengalaman adalah sesuatu yang praktikal dan tidak akan dapat diperolehi secara teori. Pengalaman melibatkan rasa dan perasaan.
Kita mungkin sebelum ini tidak pandai memasak dan hanya belajar dengan membaca buku-buku masakan tanpa mencubanya tetapi kita akan lebih pandai jika kita mempraktikkan apa yang dibaca dan kesilapan-kesilapan yang berlaku adalah satu pengalaman baru bagi kita. Pengalaman lebih mudah diingati daripada pembacaan.
Kita sering merasa tertekan apabila berhadapan kepayahan. Kepayahan bagi kita satu pengalaman buruk yang sebolehnya kita hindari. Kepayahan bagi sesetengan orang adalah milik mereka yang tidak tahu mengatur hidup. Walau di mana pun kita berada kita sering terdengar akan rengusan atau keluhan manusia tentang kepayahan. Saya melihatnya dari satu sudut yang lain.
Cuba bayangkan anda tidak pernah langsung mengalami kepayahan apakah yang akan terjadi jika satu ketika anda melihat orang yang berada dalam kepayahan. Mungkin perasaan perikemanusiaan anda amat kurang dan ini menunjukkan nilai cinta anda sesama makhluk juga begitu kurang. Jika anda tidak pernah menghadapi kepayahan, anda juga tidak akan pandai menilai erti kesenangan.
Kepayahan pada pandangan saya adalah satu langkah kematangan hidup dan juga satu jalan mencari jawapan kepada setiap persoalan yang kita hadapi. Untuk mengatasinya kita perlu bergantung secara total kepada Allah swt, menguasai diri kita, menguasai emosi kita serta berusaha untuk memberi yang terbaik terhadap penyelesaiannya. Apabila berjaya kita akan mula melangkah lebih jauh dan kesilapan seringkali berlaku dalam fasa kedua iaitu untuk mengekalkan kesenangan.
Sewaktu kita berada dalam kepayahan kita sentiasa ingat Allah swt dan berdoa kepadanya agar memberikan jalan keluar yang terbaik untuk diri kita, tetapi apabila kesenangan menjenguk diri kita mula berkurangan menyebut nama Tuhan yang telah membantu kita.
Oleh yang demikian saya merasakan bahawa kesenangan itu satu ujian.
Kita akan diuji hanya setelah kita menjalani latihan. Ramai yang mungkin salah faham kerana mengganggap ujian itu datang ketika kepayahan. Bagi pengamal Meditasi Super Sedar, ujian adalah sewaktu kita menghadapi kesenangan. Dengan kesenangan itu kita mungkin menjadi seorang yang tamak, mungkin menjadi seorang yang sibuk dan yang paling menggerunkan ialah menjadi seorang yang lupa Tuhan. Jika kita tahu bahawa kesenangan itu satu ujian kita akan menghadapi kesenangan itu dengan lebih berhati-hati dan menguasainya lebih daripada apa yang kita lakukan sewaktu zaman kepayahan. Kita juga tahu kesenangan itu boleh menjatuhkan kita dengan lebih teruk daripada kepayahan.
Ketika payah kita hanya jatuh secara fizikal dan emosi tetapi ketika senang kita jatuh dari segi rohani dan jika dibiarkan, kita akan lebih mengingati kesenangan yang kita ada lebih dari mengingati Allah swt. Sewaktu senang juga kita lebih takut untuk menjadi susah daripada takut kehilangan cinta Allah swt. Kita mula merasakan apa yang kita kecapi hari ini adalah kerana usaha kita dan bukan pemberian Allah swt. Permainannya begitu halus.
Maka fahamilah secara bijaksana apa itu kepayahan dan apa itu kesenangan. Kepayahan itu mungkin boleh membunuh tetapi caranya kasar manakala kesenangan itu sebenarnya lebih bahaya. Ini tidak pula bermakna kita tidak perlu mencari kesenangan. Kita perlukan kesenangan tetapi kita perlu menguasai diri kita sewaktu kita berada dalam lingkungannya kerana kepayahan itu satu latihan hidup dan kesenangan itu ujiannya. Kita perlu lulus dalam ujian agar mendapat kesenangan di kedua-dua alam.
Dr.Azhar Sarip
Perunding Emosi,Soul Axis Management
No comments:
Post a Comment