Thursday, July 8, 2010

Pilih Nak Yang Mana..

Setiap hari setiap ketika kita dihidangkan dengan pelbagai kejadian untuk dialami samada ianya memberi kesan terhadap hidup kita ataupun tidak. Setiap kejadian itu juga merupakan satu pengalaman untuk kita dan ianya bergantung kepada kita samada untuk mengambil pengajaran dari setiap pengalaman yang kita alami atau membiarkan sahaja ianya menjadi satu episod hidup.

Seorang yang sedang berhadapan dengan masalah akan mengalami satu tekanan yang mungkin akan membuatkannya hilang pertimbangan, namun dia sebenarnya punya pilihan samada untuk menjadikan masalah yang dihadapinya itu satu panduan masa hadapan atau menjadikannya satu beban perasaan yang lama kelamaan akan memakan diri sendiri jika tidak selesaikan. Ianya amat bergantung bagaimana kita mentafsir serta menerima tekanan tersebut.

Manusia mempunyai beberapa jenis pandangan yang berbeza dan impak setiap pandangan itu amat bergantung kepada bagaimana si pemilik tubuh itu menyusun aturan tubuh-tubuhnya. Secara mudahnya manusia ini dapat dikatakan mempunyai tiga jenis tubuh yakni tubuh zahir (fizikal), tubuh batin (emosi dan minda) serta tubuh rohani (spiritual). Maka setiap tubuh ini mempunyai pandangan yang berbeza terhadap setiap kejadian bergantung dengan siapa ketua mereka.

Jika tubuh zahir yang menjadi ketua maka selalunya ia akan disertai dengan hawa panas yang merimaskan tetapi jika sebaliknya tubuh spiritual yang dijadikan ketua yang membentuk pandangan kolektif manusia terhadap kehidupan, maka setiap kejadian itu akan dilihat sebagai satu rahmat.

Untuk memahaminya dengan lebih jelas lagi, kita ambil satu senario yang mana anda sedang menunggu seorang teman yang berjanji untuk bertemu dengan anda pada jam 3 petang. Untuk mengelakkan kesesakan jalan raya, anda mengambil keputusan untuk keluar dari rumah lebih awal agar dapat sampai ke tempat yang dituju sebelum jam 3 petang. Rancangan anda membuahkan hasil apabila anda dapat sampat ke tempat yang dijanjikan lebih awal iaitu kira-kira jam 2.40 petang. Anda kemudiannya mengandaikan yang teman anda akan datang selewat-lewatnya jam 3 petang sesuai dengan perjanjian sebelumnya. Anda mengambil satu keputusan untuk duduk menunggu teman anda di ruang menunggu sambil anda dapat dapat melihat keadaan sekeliling. Namun setelah lebih setengah jam menanti anda tidak melihat lagi kelibat teman anda di kawasan tersebut. Usaha anda seterusnya ialah menghubungi beliau namun dia tidak dapat dihubungi. Anda makin resah dan mula merasa kecewa bercampur geram. Sepuluh minit kemudia teman anda datang sambil memohon maaf atas kelewatannya. Dia kemudiannya menerangkan yang dia tersangkut dalam kesesakan jalanraya apabila kereta di hadapannya mendapat kemalangan. Sekali lagi dia memohon maaf kepada anda.

Jika kita lihat lebih dalam terhadap kejadian ini dan melihat dari perspektif mana anda menilai sesuatu kejadian maka kita akan melihat perbezaan impak kejadian terhadap hidup anda. Jika anda melihatnya dengan zahir kemudian batin dan barulah spiritual, maka impaknya adalah negatif kerana anda resah, marah, kecewa dan akhirnya mungkin bermasam muka. Apabila anda melihat dengan (1) ZAHIR – mata anda akan memerhatikan sekeliling, anda akan mula merasa dilihat dan anda juga mula malu. Maka anda akan cenderung melihat jam yang pada perkiraan anda mungkin lambat dan membosankan.

Kemudian (2) BATIN anda yang terdiri dari EMOSI dan MINDA mula memberi reaksi terhadap apa yang anda lihat dan dengar. Elemen emosi yang berada dalam lingkungan batin akan mula memberi reaksi negatif terhadap kejadian menunggu teman anda tadi. Anda mula beremosi, anda mula kecewa, anda juga mula untuk marah kepada teman anda kerana kelewatannya. Minda anda mula mencari jalan keluar dan harus anda ingat dalam keadaan beremosi jalan keluar yang selalu diambil adalah kurang rasional. Minda anda akan berkata-kata dan ianya secara tidak langsung ia kini mengusik ketenteraman tubuh spiritual anda.

(3) tubuh SPIRITUAL anda mengalami ketidaktentuan kerana konflik yang dicetuskan oleh emosi dan minda.


Emosi sering mengganggu minda dalam memberi pandangan yang bernas terhadap satu-satu kejadian. Justeru itu jika anda mengamalkan pengamatan terhadap hidup dengan aturan pandangan zahir, batin dan spiritual, anda akan mudah berada dalam lingkungan emosi yang saya gelar emosi murahan. Ini kerana anda amat mudah terkesan dengan setiap kejadian bahkan jika satu-satu kejadian itu baik tetap juga dipandang serong kerana anda sering dikuasai oleh impak pandangan batin yang beremosi dan minda yang sering mencari jalan keluar. Maka kebaikan itu juga akan dilihat buruk kerana jalan keluar dari kebaikan itu mengikut pandangan minda anda ialah mencari salahnya.

Tetapi jika anda seorang yang mengamalkan aturan pandangan mengikut susunan yang diketuai oleh tubuh spiritual maka impaknya adalah kebahagian dan ketenangan. Tiada lagi emosi murahan yang mampu menggugat ketenteraman jiwa anda bahkan anda akan menjadi seorang yang sering berfikiran rasional biar apapun keadaan yang menimpa.

Jika kita ambil kembali senario kejadian tadi yang dilihat pada pandangan awalnya ialah (1) SPIRITUAL, maka jiwanya tenteram kerana dia redha dengan keadaan yang kini perlu dihadapi iaitu menanti kedatangan temannya. Dia redha kerana dia tahu bahawa Allah swt mengaturkan segalanya. Dia tahu bahawa kelewatan temannya itu pasti bersebab kerana disebalik setiap kejadian itu ada sebabnya.

Daripada Ibni Abbas katanya : Pada satu hari saya berada dibelakang Nabi saw. Maka sabdanya “hai budak! Akau mahu ajar kamu beberapa kalimah : Awasilah Allah, Dia pasti akan memeliharamu. Peliharalah Allah pasti Dia berada disampingmu. Bila engkau minta, maka mintalah dengan Allah, bila mahu pertolongan, minta tolonglah daripada Allah. Ketahuilah sekiranya umat manusia bekerjasama menolongmu mereka tidak dapat menolong melainkan apa yang ditulis Allah dan sekiranya mereka bekerjasama untuk menyakitimu, mereka tidak dapat berbuat apa-apa selain dari apa yang telah disuratkan Allah. Pena sudah diangkat dan buku sudah ditutup” (HR Tarmizi).

Jika mereka mengambil pandangan spiritual sebagai pandangan awal maka mereka akan dapat menghayati hadis ini yang mana setiap kejadian itu telah disuratkan dan kita perlu redha. Bertolak dari titik itu dia akan memberi laluan pandangan kepada batin.

(2) BATINnya akan tersusun kerana MINDA akan mula memahami hikmah di sebalik kejadian. Minda akan menilai setiap perjalanannya yang mungkin dapat memberi satu ilmu pengetahuan. Dia dapat mempelajari sesuatu dari kejadian itu hasil pengamatan terhadap keadaan sekelilingnya. Pemahaman itu meredam emosi negatif yang melonjakkan emosi positif ke hadapan. Dia akan berterima kasih ke hadarat ilahi atas kurniaan ilmu yang diperolehinya dari penantian seorang teman.

(3) tubuh ZAHIR akan bereaksi sesuai dengan emosi positif yang mendominasinya. Dia tersenyum bahagia ketika menyambut kedatangan temannya biarpun lewat dan mendengar butiran keterangan dari si teman dengan sepenuh jiwa. Jika anda dapat melazimkan amalan dengan melihat setiap kejadian dari sudut (1) spiritual (2) batin dan akhirnya (3) zahir, anda insyaAllah akan sering berhadapan dengan pengalaman yang menyenangkan dan anda juga menjadi seorang yang bijak dalam membuat sebarang keputusan.

Jika anda memilih untuk terus menjadikan pandangan zahir sebagai pandangan awal anda, anda telah membawa masuk ketidaktenteraman kepada batin yang akan membuatkan jiwa anda tertekan.

Anda mempunyai pilihan dan jika anda rasakan yang mengambil pandangan awal dari sudut spiritual itu susah, maka anda melakukan satu penilaian yang salah. Setiap yang anda lakukan hari ini adalah terhasil dari kebiasaan anda. Anda sudah terbiasa dari kecil memakan nasi sebagai makanan ruji maka jika anda disuruh menjadikan roti sebagai makanan asas ia akan memeritkan. Tetapi jika anda mampu menjadikannya satu kebiasaan ianya bukan lagi satu perkara yang memeritkan. Begitulah juga dengan pandangan anda, hanya pada awalnya ia dilihat seperti sesuatu yang sulit tetapi setelah ianya menjadi satu kebiasaan ianya akan secara otomatik berfungsi mengikut aturan yang anda inginkan. Selamat mencuba..

Aisha: Moga dapat mengambil manfaat dari apa yang disampaikan...jangan biarkan diri anda dikuasai tenaga negatif...positifkan kembali diri anda...

SOUL POWER
Sifu Dr Azhar Hj Sarip
Soul Axis Management

No comments:

Firman Allah S.W.T
"Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang SABAR"